|
Perlembagaan Negeri
Sarawak memperuntukkan Perundangan Negeri mestilah terdiri daripada Yang
di-Pertua Negeri dan sebuah badan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri.
Pada 31 Ogos 1963, Sarawak menjadi sebuah negeri yang mempunyai sistem
pemerintahan sendiri dengan sebuah kabinet yang dipilih. Enam belas hari
kemudian iaitu pada 16 September 1963, Sarawak bersama-sama dengan Persekutuan
Tanah Melayu, Sabah dan Singapura membentuk sebuah negara Malaysia. Perkembangan
lanjut terhadap perlembagaan dibuat pada tahun 1965 apabila Kabinet Negeri
diperbesarkan untuk mengandungi seorang Ketua Menteri dan lapan orang Menteri,
dan pada tahun 1968 jumlah keahlian Dewan ditambah menjadi 48 orang dengan
pemansuhan terhadap Ahli Ex-Officio dan Ahli yang dilantik. Dewan kemudian
diperbesarkan lagi pada tahun 1985 dengan jumlah Ahli seramai 56 orang yang
dipilih secara terus oleh rakyat di kawasan - kawasan pilihanraya. Pilihanraya
tahun 1996 menyaksikan satu lagi perkembangan apabila jumlah keahlian Dewan
Undangan Negeri ditambah menjadi 62 orang, sekaligus menjadikan Dewan Undangan
Negeri Sarawak dewan perundangan yang terbesar di Malaysia. Namun pada tahun
2006, keahlian Dewan Undangan Negeri bertambah lagi dan menjadikan jumlah mereka
seramai 71 orang.
Dewan Undangan Negeri Sarawak
kini mempunyai 71 orang Ahli yang dipilih. Seorang Ahli bagi setiap kawasan
pilihanraya negeri. Luas kawasan pilihanraya adalah berbeza-beza dengan jumlah
pengundi paling ramai daripada kawasan-kawasan bandar manakala kawasan luar
bandar yang luas mempunyai jumlah pengundi yang kecil disebabkan masalah
perhubungan.Selepas pilihanraya umum di adakan, seseorang Ahli yang dipilih akan
menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri untuk tempoh lima tahun atau sehingga
pilihanraya umum baru di adakan.Perlembagaan Negeri memperuntukkan bahawa Dewan
Undangan Negeri mesti mengadakan persidangan sekurang-kurangnya sekali dalam
setahun. Persidangan mesti diadakan kerana tiada sebarang cukai atau
perbelanjaan boleh dikenakan ke atas Dana Tergabung Negeri melainkan setelah
diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri. Belanjawan tahunan negeri biasanya
dibentangkan oleh Kerajaan Eksekutif.
SEJARAH
|
No comments:
Post a Comment